About | Contact Us | FAQ | Site Map

 DEPARTMENT OF CIVIL AVIATION
MINISTRY OF COMMUNICATIONS
 
  1. Home
  2. Climate
  3. News & Events
  4. Education
Press Releases
 
MAJLIS SAMBUTAN HARI KAJICUACA SEDUNIA TAHUN 2010
2010-04-05 12:00:00
Negara Brunei Darussalam telah menyambut Hari Kajicuaca Sedunia pada hari ini Selasa 07 Rabiulakhir 1431 Hijriah bersamaan dengan 23 Mac 2010 bertempat di Bangunan Bubungan Dua Belas, Jalan Residency, Bandar Seri Begawan, jam 9.00 pagi yang dikelolakan oleh Perkhidmatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Jabatan Penerbangan Awam. Tetamu Kehormat di Majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Perhubungan, dan di Pengerusikan oleh Yang Mulia Awang Haji Omarali bin Haji Mohd Jaafar, Pengarah Penerbangan Awam.

Turut hadir di Majlis itu ialah Yang Mulia Haji Awang Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Laila Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha, Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Yang Mulia Awang Haji Mahmud bin Haji Daud, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan, serta Pengarah-Pengarah, Ketua-Ketua Jabatan, Timbalan-Timbalan Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai, dan Jemputan-Jemputan Khas

Tema Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia pada tahun ini ialah World Meteorological Organisation 60 years of service for your safety and well-being iaitu Pertubuhan Kajicuaca Sedunia 60 tahun perkhidmatan untuk keselamatan dan kesejahteraan awda. Pertubuhan Kajicuaca Sedunia memilih tema ini kerana tema ini amat sesuai pada saat komuniti di seluruh dunia sedang berjuang untuk mencapai Sasaran-Sasaran Pembangunan Millinium Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya berkaitan dengan kesihatan, keselamatan makanan dan air dan pengurangan kemiskinan, serta untuk meningkatkan ketahanan dalam menghadapi bencana alam yang berulang-ulang dan membantu mereka dalam menangani impak-impak variabiliti dan perubahan iklim yang meningkat secara proaktif. Tema ini mempunyai kaitan langsung dengan peranan Bahagian Perkhidmatan Kajicuaca Brunei Darussalam dalam peranannya sebagai agensi yang memantau, menyediakan maklumat, amaran dan nasihat kajicuaca kepada agensi-agensi yang berkaitan dan orang ramai supaya agensi-agensi yang berkenaan dapat merancang dan membuat tindakan-tindakan yang diperlukan bagi mengurangkan kesan-kesan cuaca ekstrem demi kesejahteraan dan keselamatan penduduk di Negara ini.

Tetamu Kehormat Majlis dalam ucapannya telah menyarankan di mana dalam usaha untuk memenuhi ekspektasi pengguna yang kian meningkat, Perkhidmatan Kajicuaca, Jabatan Penerbangan Awam, supaya akan terus berusaha menyediakan khidmat-khidmat kajicuaca yang lebih baik dan efektif dan mengungkayahkan aktibiti-aktibiti dan projek-projek peningkatan yang bermatlamat ke arah penyampaian khidmat bermutu tinggi dan reliable. Tetamu Kehormat Majlis juga menyarankan supaya Perkhidmatan Kajicuaca, Jabatan Penerbangan Awam meneroka peluang-peluang yang boleh diraih melalui mekanisma seperti usaha-sama dan perkongsian maklumat dan pengalaman dua-hala ataupun berbagai hala dengan Perkhidmatan Kajicuaca Serantau mahupun Antarabangsa

Di Majlis ini juga diselajurkan perasmian pelancaran satu produk yang baru iaitu Colour Coded Severe Weather and Rough Sea Warning System iaitu Sistem Kod Berwarna Amaran Cuaca Buruk dan Laut Bergelora. Sistem kod berwarna yang dilancarkan pada hari ini adalah dihasratkan untuk memudahkan lagi pihak-pihak pengguna membuat persiapan dan tindakan yang bersesuaian dalam menangani kesan-kesan sebarang kemungkinan yang disebabkan oleh cuaca. Penyebarannya akan dibuat melalui kerjasama dan koordinasi dengan agensi-agensi penyiaran seperti Radio Televisyen Brunei dan radio-radio tempatan. Sementara itu di Majlis ini juga diselajurkan lagi perasmian Peraduan Fotografi yang bertemakan Cuaca dan Kesannya. Peraduan ini adalah anjuran bersama Jabatan Penerbangan Awam dengan Persatuan Jurufoto Brunei Darussalam dan diharapkan melalui program peraduan ini nanti akan meningkatkan lagi minat orang ramai mengenai cuaca di Negara ini. Orang ramai yang berminat bolehlah melayari laman web Perkhidamatan Kajicuaca Brunei Darussalam melalui "http://www.bruneiweather.com.bn" untuk keterangan lanjut mengenai dengan peraduan tersebut.

Selain itu, Sistem Pesanan Ringkas (SMS) juga diperkenalkan semasa Majlis Sambutan. Sistem Pesanan Ringkas (SMS) ini adalah satu lagi kaedah bagi penyebaran ramalan, amaran ataupun nasihat cuaca yang dikeluarkan terus menerus dari Pusat Ramalan Cuaca Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei kepada pihak-pihak tertentu. Khidmat cuaca talipon bimbit juga akan diperkenalkan yang akan memberikan kemudahan kepada pengguna talipon bimbit mengakses ramalan, amaran dan nasihat cuaca dengan menggunakan khidmat Wireless Application Protocol (WAP).

Sempena pelancaran Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia 2010, satu pameran mini akan diadakan bagi mempamerkan aktiviti-aktiviti Perkhidmatan Kajicuaca yang ada hubungkait dengan tema pada tahun ini. Pameran ini akan diadakan di Dewan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Gadong, selama 3 hari bermula 30 Mac hingga 1 April ini, khusus untuk kunjungan penuntut-penuntut sekolah.










All contents Copyright © Brunei Darussalam Meteorological Service, Department of Civil Aviation, Ministry of Communications. 2010 . All Rights Reserved